Piawaian Pengurusan Minimum Bagi Spesis Tapir




Дата канвертавання27.04.2016
Памер43.37 Kb.
Piawaian Pengurusan Minimum Bagi Spesis Tapir
Rick Barongi
Pengarah, Houston Zoological Gardens, 1513 N. MacGregor Dr., Houston, TX 77030

E-mail: rbarongi@houstonzoo.org


PENGENALAN
Tapir secara keseluruhannya adalah mamalia yang mudah diurus dan dibiakkan di dalam kurungan, terutamanya apabila maklumat mengenai biologi dan lakuannya telah dikenalpasti. Kekurangan maklumat di atas, menimbulkan masalah pengurusan perubatan dan lakuan.
Semasa menyusun piawaian pengurusan minimum bagi tapir, seseorang itu perlu mengenalpasti faktor yang mempengaruhi seperti lakuan individu, kesesuaian, cuaca dan kekerapan individu bersama penjaganya. Terdapat berbagai tindakan dan kemudahan asas bagi tujuan ini. Namun, senarai piawaian pengurusan minimum disarankan bagi pembentukan suatu program yang berjaya bagi pengurusan manusia dan tapir itu sendiri.
TAKSONOMI
Famili Tapiridae mempunyai empat spesis yang masih wujud sehingga ke hari ini, satu didapati di Asia Tenggara dan tiga spesis yang lain di Amerika Tengah dan Selatan. Kesemuanya dikategorikan Terancam oleh USDI dan tiga spesis (kecuali Tapir Tanah Rendah) disenaraikan dalam Appendiks I, CITES. Nama saintifik dan taburan bagi setiap spesis adalah seperti di bawah:
Tapirus indicus Tapir Asia atau Tapir Malaya.

Selatan Myanmar, Semenanjung Malaysia, Asia Tenggara dan

Sumatera.
Tapirus bairdii Tapir Amerika Tengah atau Tapir Baird.

Selatan Mexico hingga Utara Colombia dan Ecuador, juga

bahagian barat Andes.
Tapirus terrestris Tapir Brazil atau Tapir Tanah Rendah.

Colombia dan Venezuela hingga bahagian utara Argentina

dan bahagian selatan Brazil.
Tapirus pinchaque Tapir Pergunungan atau Tapir Berbulu.

Dari Andes hingga bahagian utara-barat Venezuela, Colombia dan Ecuador, juga utara-barat Peru.



LAKUAN/KUMPULAN SOSIAL
Kebanyakan sumber bertulis menyatakan tapir adalah hidupan liar yang tidak berkumpulan (solitari) dan aktif pada waktu malam (nocturnal). Namun, pemerhatian lapangan yang terbaru mendapati tapir tinggal di habitat yang dikongsi bersama individu lain dan lebih aktif pada waktu siang (diurnal). Lakuan sosial tapir di dalam kurungan sangat bergantung kepada personaliti penjaganya, pengalaman lampau, kehadiran makanan yang mencukupi dan saiz serta rekaan kawasan kurungan. Terdapat zoo yang menghadapi masalah bagi menempatkan dua individu di kawasan yang sama, namun ada juga zoo lain berjaya menempatkan lima hingga sepuluh individu di kawasan yang sama (Singapura dan Kuala Lumpur).
Ada tapir sangat agresif terhadap individu lain dan penjaganya, namun ada juga yang mudah didekati dan sangat gemar sentuhan fizikal seperti digaru dan sebagainya. Lakuan tapir boleh dikatakan sukar dijangka dan langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diambil semasa mengendalikan hidupan liar yang kuat ini. Terdapat banyak rekod kecederaan akibat serangan tapir ke atas penjaganya. Antaranya luka gigitan yang serius dan kehilangan beberapa jari.
Kebanyakan zoo mengekalkan sepasang tapir dewasa di kawasan yang berbeza atau sama. Tapir betina akan diasingkan semasa melahirkan anak sehingga anak berusia tiga hingga empat bulan. Terdapat juga kes di mana tapir jantan dewasa (bapa) menerima kehadiran anak tersebut lebih awal daripada tempoh ini.
KEPERLUAN KAWASAN KURUNGAN
Kawasan kurungan perlu dilengkapi kemudahan dalaman dan luaran.
Kemudahan Dalaman:
Saiz Kandang – Setiap kandang dalaman tapir perlu sekurang-kurangnya bersaiz 10' x 10' (100 kaki persegi). Setiap kandang perlu lorong hubungan dalaman dengan jarak lebih kurang 4 kaki lebar serta dilengkapi pintu gelungsur (sliding gates). Struktur ini mestilah berupaya untuk berfungsi tanpa membahayakan penjaga. Juga disarankan agar terdapat satu kandang untuk setiap individu bagi memudahkan pengasingan semasa ia melahirkan anak, rawatan atau masalah lakuan.
Dinding dan Lantai – Dinding kandang dalaman perlu sekurang-kurangnya 6 kaki tinggi (2 meter). Dinding dibina dengan menggunakan kayu atau konkrit padu atau besi palang tegak dengan jarak di antaranya kurang daripada 8 inci. Penggunaan besi palang melintang perlu dielakkan kecuali semua ruang di antara besi palang ini disingkirkan. Permukaan lantai perlu sedikit cerun bagi laluan air. Semasa musim sejuk, pihak pengurusan zoo perlu menyediakan permukaan lantai yang panas seperti lapisan tempat tidur yang boleh mencegah mamalia ini terdedah kepada lantai yang sejuk. Lapisan permukaan lantai juga tidak terlalu kasar kerana ini mungkin mencederakan bahagian tapak kakinya.
Suhu Dalaman – Suhu kandang dalaman perlu dikekalkan sekitar 65 – 85 darjah Fahrenheit. Tahap kelembapan pula perlu dikekalkan di bawah 50%, melainkan bagi kandang dalaman yang menyediakan kolam kecil. Suhu lantai juga perlu dipantau semasa musim hujan/sejuk.
Air – Air minuman segar perlu dibekalkan sentiasa. Jika tiada disediakan kolam kecil, bekalan air secara terus (drinkers) perlu disediakan. Tapir yang ditempatkan di kawasan tanpa bekalan kolam perlu dibasahkan dengan pancutan air terus setiap hari.
Kolam – Kolam dalaman sangat dicadangkan sebagai sebahagian daripada keperluan asas. Jika tiada kemudahan kolam di kawasan luaran sehingga mamalia terlibat perlu disimpan di bahagian dalam sepanjang masa, kolam sangat disarankan. Kolam perlu luas yang bersesuaian untuk menampung sekurang-kurangnya dua individu dewasa untuk menyelam sepenuhnya. Pintu masuk dan keluar yang mudah dan selamat ke kawasan kolam perlu disediakan merangkumi permukaan yang menggerutu agar tidak mudah tergelincir. Kajian mendapati mamalia ini sangat gemar berada di dalam air dan berupaya menyelam selama 2-3 minit.
Kebersihan – Semua bahagian kawasan dalaman perlu dibersihkan dan dinyahkumankan setiap hari. Mamalia yang terbabit perlu dipindahkan ke kawasan berasingan semasa proses ini dilakukan.
Kemudahan Luaran:
Saiz Kawasan Pameran - Tapir sangat pasif pada waktu siang, namun kawasan yang luas masih diperlukan bagi keperluan lakuan rutin dan pembiakan. Setiap individu dewasa perlu ditempatkan di kawasan pameran sekurang-kurangnya seluas 200 kaki persegi.
Sempadan Pengunjung – Tapir mudah diuruskan di dalam kawasan yang mempunyai sistem saliran yang cetek, kering dan bercerun. Kedalaman sistem ini adalah 6 kaki tegak sebagai bahagian dinding luar. Kawasan pameran tanpa sistem saliran perlu disediakan juga sekurang-kurangnya 6 kaki tinggi sebagai sempadan. Pagar kayu berantai juga perlu disediakan dengan ketebalan 10 atau lebih. Tapir biasanya tidak melompat ke atas tetapi berupaya memanjat dinding setinggi 4 kaki. Tapir adalah mamalia yang kuat dan dijangkakan boleh menolak pintu berantai jika tidak diawasi. Pengunjung perlu dijarakkan sekurangnya 3 kaki daripada mamalia ini.
Teduhan – Tapir adalah mamalia yang bergantung kepada teduhan sepanjang waktu siang untuk berlindung daripada sinaran matahari. Cuaca di zoo di negara panas akan menyebabkan mamalia ini perlu teduhan sepanjang masa di kawasan pameran.
Sekitaran Semulajadi – Permukaan kawasan pameran perlu dilengkapi dengan tanah padat ataupun rumput. Tapir tidak boleh disimpan di kawasan berpermukaan konkrit sepanjang hari, 365 hari setahun.
Kolam – Perhubungan ke kolam di kawasan pameran bagi negara beriklim panas merupakan syarat minima. Ia penting bagi keperluan kesihatan bagi mamalia ini juga kestabilan lakuannya. Kolam mini perlu dibersihkan dan diisi dengan air baru setiap hari. Tapir selalunya membuang tinja di dalam air dan perbuatan ini akan mengurangkan risiko masalah usus besar.
Topografi Kawasan Pameran – Bahagian luaran kawasan pameran perlu berpermukaan rata dan sebaiknya ada dinding yang bersudut kecil dan dinding bersudut 90 darjah perlu dielakkan.

NUTRISI
Tapir secara keseluruhannya adalah mamalia herbivor and sangat menggemari tumbuhan terutamanya bahagian daun dan buah. Tapir menerima pelbagai jenis makanan sepanjang tempoh aktif. Ini adalah kerana kapasiti perutnya adalah terhad berbanding artiodactyla ruminan yang lain. Juga dikenali sebagai proses penapaian perut belakang, struktur usus kecil tapir sama seperti sistem di dalam perut kuda. Gabungan pellet komersial bagi mamalia herbivor (15% protein mentah, 0.7% liasine, 21% serat asid-detergen [DMB]) dan rumput kering legum (18% protein mentah, 30% serat asid-detergen [DMB]), ditambah dengan produk komersial di pasaran dan tumbuhan tertentu merupakan makanan yang sesuai bagi tapir dalam kurungan. Pisang, dan buah-buahan lain adalah makanan yang sangat digemari. Ia boleh digunakan bagi pengurusan lakuan semasa peringkat awal tapir liar diurus di dalam kurungan (seperti semasa latihan dan pengurusan perubatan). Mana-mana piawaian makanan tapir perlu mengandungi peratusan jenis makanan berikut:
Rumput kering legum (alfalfa,<{kurang atau bersamaan dengan}

18% protein mentah) 33%

Pellet herbivor nutrisi lengkap (12-18% protein mentah) 33%


Produk komersial dan/atau tumbuhan terpilih 33%
Jumlah keseluruhan bagi pemakanan tapir dewasa sehari adalah antara (400-700 paun bagi 3 spesis di Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan 600-900 paun bagi tapir Asia) dan jumlah ini perlulah sekurang-kurangnya 4% hingga 5% dari berat setiap individu.
Semua jenis makanan perlu dipotong kepada bentuk yang sesuai untuk dimakan dan segar. Makanan ini perlu diletakkan di dalam bekas khas dan ditempatkan di tempat yang sesuai. Pemberian makanan secara terus di atas tanah perlu dielakkan.
Nota – Tapir dalam kurungan mempunyai rekod masalah usus besar yang juga dikenali sebagai ‘rectal prolapses’. Punca bagi masalah ini masih belum dikenalpasti, namun ia diandaikan berpunca dari kekurangan serat dalam diet seperti contohnya apabila ia diberi makan dengan produk komersial secara berlebihan.
PEMBIAKAN
Semua spesis tapir mempunyai sistem dan lakuan pembiakan yang sama. Tapir mencapai tahap kematangan seksual sebelum berumur dua tahun dan nilai ini agak istimewa berbanding mamalia kumpulan besar. Tapir betina boleh membiak seawal usia 13 bulan dan melahirkan anak pertama pada usia 26 hingga 27 bulan. Tapir jantan berupaya mencapai kematangan seksual pada usia 24 bulan.
Tempoh bunting bagi tapir adalah antara 390 hingga 410 hari (lebih kurang 13 bulan). Kitaran estrus bagi tapir betina biasanya pada selang waktu 28-31 hari. Tapir jantan akan mengawan bersama tapir betina yang berada di dalam kitaran estrus sekurang-kurangnya satu kali setiap kitaran. Tempoh mengawan boleh mencapai 15-20 minit.
Lakuan mengawan banyak bergantung dengan faktor usia, pengalaman dan juga kesesuaian pasangan. Biasanya lakuan berlari dan menggigit dilakukan sebelum pasangan mengawan dan mamalia ini akan sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan. Kawasan kurungan perlu mempunyai ruangan terbuka bagi mengelakkan risiko kecederaan semasa proses ini. Kawasan sempit akan menimbulkan risiko anggota badan tertentu akan tersepit. Ada pasangan yang gemar mengawan semasa berdiri di air cetek dan ada juga yang gemar mengawan di kawasan kering.
Tapir betina akan mempamerkan kitaran estrus post-partum dan berupaya mengandung selepas satu hingga tiga bulan melahirkan anak. Terdapat rekod tapir bunting setelah 14 bulan melahirkan bagi tapir dalam kurungan. Pada ketika ini, anak yang dilahirkan (lebih kurang berusia empat bulan) telah memasuki peringkat cerai susu dan mula memakan makanan yang keras.
Kawasan pameran tapir perlu direka supaya tapir dewasa mudah dipisahkan atau diasingkan. Setiap individu perlu disediakan kawasan kurungan berasingan yang dilengkapi dengan sistem pintu yang berhubung terus dengan kawasan pameran.
LAKUAN MELAHIRKAN ANAK/KEPERLUAN ANAK YANG BARU LAHIR
Tapir betina biasanya merupakan ibu yang bertanggungjawab tetapi individu yang pertama kali melahirkan anak terutamanya bagi individu yang dibesarkan dalam kurungan, kumpulan ini mempunyai potensi yang tinggi untuk tidak mengendahkan anaknya yang baru lahir.
Biasanya tapir melahirkan satu anak pada sesuatu masa (terdapat juga rekod kembar tetapi sangat rendah). Anak sangat kecil semasa dilahirkan dengan berat antara 11 hingga 25 paun. Anak berupaya berdiri antara tempoh satu atau dua jam selepas dilahirkan. Ia akan mencari putting susu ibunya beberapa kali. Ibu perlu baring di sebelah anak bagi membenarkan anak menyusu. Ibu yang kurang pengalaman perlu dipujuk oleh penjaganya dan anak diletakkan pada kedudukan yang sesuai.
Anak yang baru lahir perlu ditempatkan di kawasan bersuhu antara 70 hingga 85 darjah Farenhiet dan tidak dibiarkan baring di atas permukaan yang sejuk tanpa perlindungan. Ia perlu dibalut dengan kain atau rumput kering di atas permukaan yang tidak rata bagi mengelakkan kecederaan. Permukaan kayu pain yang diketam adalah tidak sesuai digunakan kerana anak berkemungkinan akan memakannya dan ini akan menyebabkan masalah usus tersumbat.
Anak tapir tidak dibenarkan ke kolam sehingga berusia sekurang-kurangnya satu minggu. Bergantung kepada bentuk rekaan kolam dan suhu air, anak tapir adalah perenang yang baik.
Ibu akan menyusukan anaknya lima hingga sepuluh kali pada setiap tempoh 24 jam. Setiap sesi penyusuan akan berakhir sekitar 10 hingga 15 minit. Keadaan ibu dan anak tidur bersama dalam posisi menyusu adalah perkara biasa. Berat anak akan meningkat 0.5 paun (0.25 kg) setiap hari dalam tempoh 30 hari pertama selepas dilahirkan. Anak boleh diberi makanan seperti buah-buahan dan sayuran pada usia dua minggu.
PERTUKARAN CORAK TUBUH
Semua anak yang baru lahir mempunyai corak jalur putih dan berbintik pada keseluruhan tubuh. Ini bagi penyamaran daripada pemangsa di habitat asalnya. Corak ini akan mula pudar pada usia 3 bulan dan hilang sepenuhnya ketika berusia 6 bulan, ketika ini anak mempunyai corak seperti individu dewasa..

KEPERLUAN VETERINAR/KESIHATAN
Tapir cenderung terhadap berbagai masalah kesihatan, kebanyakannya boleh dielakkan pada peringkat awal dengan latihan pengurusan yang betul. Masalah yang paling kerap berlaku adalah ulser dan jangkitan pada kaki, penyakit sistem pernafasan, masalah usus besar (rectal prolapse), masalah mata dan kulit, bengkak gusi, masalah gigi dan jangkitan parasit. Tuberkulosis juga direkodkan pada sesetengah individu. Ujian najis perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Kebanyakan masalah boleh dikurangkan atau dihapuskan dengan pemakanan yang sesuai, permukaan lantai dan dinding yang tidak kasar, kawasan teduhan yang sesuai, suhu kandang individu yang sesuai dan sistem pembersihan najis yang baik Hanya vaksin bagi profilaktik perlu dibekalkan bagi mengurangkan risiko kancing gigi.
Satu keadaan dari segi itiology yang tidak diketahui telah direkodkan di beberapa zoo. Ia adalah penyakit yang timbul secara mendadak yang menyebabkan kulit melepuh dan menggelupas di bahagian pertengahan garisan dorsal pada individu terlibat. Terdapat juga kes di mana individu yang terlibat kelihatan lemah di kawasan tangan dan kaki serta terjatuh setiap kali ia cuba bangun. Dengan sokongan rawatan, individu ini dapat diselamatkan. Biopsi kulit dapat membantu mengecaman penyakit ini. Selepas rawatan, kulit yang tercedera akan beransur pulih tetapi masih terdapat parut untuk beberapa minggu.
Tenaga veterinar yang berpengalaman dalam menguruskan mamalia besar eksotik perlu disediakan bagi mengawasi mana-mana spesis tapir dan menyediakan kemudahannya. Dalam kebanyakan kes, ujian darah boleh dijalankan tanpa teknik pelalian. Penggunaan teknik pelalian hanya boleh dijalankan jika terdapat masalah yang serius ataupun bagi individu yang agak agresif. Khidmat nasihat daripada salah seorang veterinar berpengalaman di bawah sangat disarankan sebelum teknik ini digunakan. Mereka adalah:


Nama

Telefon

E-mail

Dr. Don Janssen, Zoo San Diego

619-557-3932

djanssen@sandiegozoo.org

Dr. Scott Citino, White Oak, Florida

904-225-3387

scottc@wo.gilman.com

Dr. Doug Armstrong, ZooOmaha

402-733-8401

douga@omahazoo.com


NotaDiet seimbang, lantai yang sesuai, kawasan teduh yang cukup, suhu sekitaran yang sesuai dan tahap kebersihan yang tinggi akan mengurangkan risiko masalah kesihatan bagi tapir di dalam kurungan.

PENGHANTARAN MELALUI KAPAL/BENTUK KANDANG
Bagi mengurangkan risiko bagi kecederaan mamalia ini dan juga penjaganya semasa penghantaran, beberapa perkara asas perlu digabungkan bagi kawasan penghantaran dan bentuk kandang. Ini termasuklah:


  1. Kawasan penghantaran perlu bersambung dengan lorong pemindahan yang selamat. Kawasan ini juga mestilah sesuai bagi membolehkan mamalia ini dibawa terus dengan lori.




  1. Mamalia ini perlu diletakkan berhampiran dengan lorong pemindahan beberapa minggu (lebih lama lebih baik) sebelum ia dijadualkan dihantar.




  1. Kandang perlu sesuai dan cukup untuk mamalia ini berdiri dan baring, juga memenuhi semua piawaian yang tertulis di dalam syarat-syarat 1999 IATA (International Air Traffic Association). Lihat rujukan.




  1. Kandang perlu dilengkapi dengan pintu gilotin di kedua-dua bahagian hujungnya.




  1. Tapir tidak boleh disuntik dengan pelalian semasa penghantaran. Ia disesuaikan dengan kandang tersebut secukupnya sebelum tarikh penghantaran.




  1. Hanya anak tapir berusia lebih daripada 6 bulan dan diasingkan sepenuhnya daripada ibu sekurang-kurangnya satu minggu sebelum penghantaran.


LATIHAN DALAM KANDANG BAGI PENGHANTARAN TAPIR
Semua tapir perlu dilatih agar sesuai dengan kandang penghantaran sebelum tarikh penghantaran. Proses ini melibatkan beberapa minggu, atau bulan bagi menyesuaikan tapir dengan lorong ke kandang penghantaran. Jika penghantaran tidak menggunakan kapal terbang, tetapi menggunakan jalan darat, lori yang membawa kuda atau ternakan sesuai digunakan.
Latihan penyesuaian kandang tidak bermaksud menyediakan kandang (atau lori) yang akan digunakan untuk memerangkap mamalia ini di dalamnya ketika pertama kali ia memasukinya. Beberapa individu mati di dalam kandang penghantaran apabila tidak diuruskan sebaiknya.
Adalah sangat membantu jika institusi penghantaran menerima kandang tersebut sekurang-kurangnya empat minggu sebelum tarikh penghantaran. Jika mamalia ini dihantar bersama ibunya, ia perlu diasingkan sepenuhnya.
Mamalia ini tidak boleh dihantar sehinggalah ia tenang sepenuhnya ketika berada di dalam kandang penghantaran. Penjaganya perlu berupaya untuk meletakkannya ke dalam kandang dan menutup kandang tersebut beberapa jam sebelum penghantaran serta berupaya memindahkan kandang tersebut ke dalam kenderaan. Hanya selepas mamalia ini dikunci di dalam kandang penghantaran untuk tempoh beberapa jam, tenaga manusia atau jentera digunakan untuk memindahkan kandang ke dalam kenderaan.

Terdapat pelbagai tahap penerimaan haiwan ini, dan sesetengahnya tidak akan tenang sepenuhnya semasa berada di dalam kandang penghantaran. Pada tahap ekstrim, individu yang hiperaktif akan diberikan pelalian yang ringan semasa penghantaran. Langkah ini hanya boleh diambil dengan kehadiran veterinar yang berpengalaman mengendalikan dos pelalian ke atas mamalia ini.


Kunci utama bagi penghantaran tapir:


  1. Kandang mesti memenuhi syarat IATA dan mempunyai ruang untuk mamalia ini berdiri dan baring.

  2. Mempunyai sistem pengudaraan yang tinggi di bahagian dinding dan penutup kandang.

  3. Terdapat pintu boleh ubah di kedua-dua bahagian hujung kandang.

  4. Mamalia ini disesuaikan dengan kawasan lorong pemindahan kandang sekurang-kurangnya empat minggu (atau lebih) sebelum penghantaran.

  5. Mamalia ini perlu selesa dan tenang semasa di dalam kandang. Elakkan pemindahan mamalia ini ke dalam kandang pada tarikh penghantarannya.

  6. Penggunaan pelalian adalah pilihan terakhir dan atas nasihat veterinar yang berpengalaman daripada Tapir TAG.

  7. Latihan yang sempurna perlu bagi mengurangkan keperluan penggunaan pelalian.

  8. Untuk maklumat tambahan bagi khidmat nasihat semasa proses penghantaran, hubungi Rick Barongi di nombor fax: (407) 828-4583 atau e-mail di RBarongi@aol.com.



PENGHARGAAN


Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada individu di bawah kerana sudi memberi pandangan dan berkongsi pengalaman semasa saya menyediakan dokumen ini.
Mark Edwards (San Diego Zoo)

Don Janssen (San Diego Zoo)



Lewis Greene (Prospect Park Zoo)
PENGURUSAN TAPIR-RUJUKAN
Barongi, R. 1986. Tapirs in Captivity and their Management at Miami Metrozoo. AAZPA Annual Proceeding. 1986: 96-108.
Barongi, R. 1992. Husbandry and Conservation of Tapirs. International Zoo Yearbook. Vol 32: 7-15.
Brooks, D., Bodmer, R., and Matola, S. 1997. Tapirs-Status Survey and Conservation Action Plan. IUCN Publication Services Unit. 219C Huntingdon Road, Cambridge, CB3 ODL, United Kingdom.
Crandall, L.S. 1964. Family Tapiridae. In Management of Wild Animals in Captivity. University of Chicago Press, pp. 499-504.
Grzimek, B. 1990. Tapirs. In Grzimek's Encyclopedia of Mammals, 2nd. ed. McGraw-Hill, USA. 4: 598-608.
Horan, A. 1983. An Outline of Tapir Management. Proceedings of Assoc. of British Wild Animal Keepers. 24-29.
I.A.T.A. 1999. International Air Traffic Association. Live Animal Transport Regulations, 26th ed., Montreal, Canada.
Janssen, D. and Michelet, S. 1995. Bibliography for Tapiridae. San Diego Zoo, Veterinary Department, San Diego, California.
Janssen, D. 1992. Tapir immobilization record from Panama. Unpublished report. Zoological Society of San Diego, Veterinary Department.
Kuehn, G. 1986. Tapiridae. In Zoo and Wild Animal Medicine, 2nd. ed. 931-934. Fowler, M.E. (Ed.). Philadelphia: Saunders.
Lee, A. 1993. Management Guidelines for the Welfare of Zoo Animals: Tapirs. The Federation of Zoological Gardens of Great Britain and Ireland. Regent’s Park, London NW1 4RY.
Nowak, R.M. 1999. Tapirs. In Walker's Mammals of the World, 6th. ed. 1025-1028. John Hopkins University Press.
Read, B. 1986. Breeding and Management of the Malayan Tapir Tapirus indicus at the St. Louis Zoo. International Zoo Yearbook. 24/25: 294-297.
Williams, K.D. 1978. Aspects of the ecology and behavior of the Malayan tapir, in the national park of West Malaysia. M.S. thesis, Michigan State University.



Revised: August 1999 Page


База данных защищена авторским правом ©shkola.of.by 2016
звярнуцца да адміністрацыі

    Галоўная старонка